'O' IS FOR OLIE

Thursday, November 15, 2012

Mak...inilah sesalanku..Surat utk mak yang tidak pernah dikirim...

Assalamualaikum Mak..

Mak, ampunkan anakmu ini kerana berlaku tidak adil kepadamu. Ampunilah anakmu yang jarang sekali pulang menjengukmu nun jauh di kampung. Betapa aku berdosa membiarkan hatimu gundah menyulam rindu. Alangkah zalimnya aku mengabaikan tanggungjawabku yang satu ini. Mak, aku tahu bukan duit ringgit yang mak mahukan. Bukan juga emas berlian, harta melimpah yang mak impikan. Bukan. Cuma perhatian dan kasih daripada anakmu yang seorang ini. Hanya kepulanganku yang mampu mengubat jiwa lara keluh kesah sebak tangismu mak. Aku tahu itu. Ampunilah aku mak...


Mungkin aku tidak pernah meluahkan isi hatiku dalam hal ini. Jika pernah, barangkali mak akan mengerti apa yang terbuku di sanubari. Mak, dalam hidupku aku hanya ada seorang ibu. Tentu sekali mak masih ingat peristiwa lalu yang merentap seluruh kepercayaanku pada arwah ayah. Aku hanya mengetahui kebenaran bahawa wanita yang selama ini ku anggap ibu tiri itu adalah ibu kandungku hanya setelah berusia 12 tahun! Bagaimana harus aku menolak kesahihan bahawa arwah Cik Bunga bukan ibu kandungku mak? Semuanya tertera di dalam sijil kelahiranku! Bagaimana budak seusia aku kala itu dapat menerima hakikat yang menyentap seluruh  jiwa kecilnya? Harus bagaimana lagi aku berdaya memujuk hatiku sendiri bahawa wanita yang selama ini cuba kujauhi itu adalah ibu yang melahirkan aku mak? 


Sebenarnya aku amat berkecil hati. Bukan...bukan berkecil hati mak tapi terlalu kecewa dengan perbuatan ayah yang sanggup memisahkan kasih ibu dan anak yang masih dalam susuanmu selama 20 hari. Aku kesal mak. Amat kesal kerana ayah tidak memikirkan natijah perbuatannya yang terlalu menurut amarah. Dek kerana amarahnya itulah kita terpisah. Dek kerana menurut kata hatinya itu jugalah aku beranggapan aku ini anak yatim!


Mak, hatiku hancur mak diperlakukan sebegitu. Hatiku pecah berderai kerana ayah! Disebabkan peristiwa itulah maka aku hampir jarang pulang menjengukmu. Terkadang hati berbisik apakah kerana mak sudah punya 9 anak yang lain lalu mak tidak kisah membiarkan aku pergi? Benarkah begitu mak? Benarkah?


Mak, aku pasti mak pasti terasa dengan sikapku yang degil dan keras hati. Macam arwah ayah juga. Aku yakin mak tentu merintih saban hari menantikan aku berubah hati. Tapi mak, hatiku masih luka. Parutnya masih bernanah mak. Semuanya kerana arwah ayah! Kerana dia !!


Tapi mak, sesungguhnya Allah itu maha berkuasa. Hati yang kututup daripada limpahan kasih yang ingin kau berikan kian terbuka. Semakin lama aku hidup merantau di Kuala Lumpur semakin aku kenal diriku. Aku bukan sekejam itu. Aku mencuba sekuat mungkin untuk tidak menjadi seperti arwah ayah. Aku letakkan diriku dalam keadaanmu. Aku mengerti mak, sepertimana pengakuanmu dulu, pada waktu kejadian itu ayah memaksa sekeras-kerasnya untuk merampasku daripadamu mak. Aku tahu dalam keadaan dirimu yang berpantang 20 hari mana mungkin mak mampu melawan kudrat ayah. Aku cuba selami hati seorang ibu yang rindukan anaknya. Aku selusuri denai hatimu yang menangis setiap kali doamu belum juga diperkenankan Allah. Kerana aku juga telah menjadi seorang ibu, mak...


Mak, maafkan aku kerana mengambil masa yang agak lama untuk menerimamu dalam hidupku. Aku benar-benar menyesal atas segala perlakuan dingin yang kupamerkan selama ini. Aku telah benar-benar sedar dan yakin mak lah ibuku yang menjadi sanjungan di hati kini. 


Mak di kesempatan ini berikanlah keampunan kepadaku atas segala dosa yang telah kulakukan. Aidilfitri ini amat bermakna buatku kerana aku mulai merasa kewujudanku dalam hidupmu adalah antara perkara yang terpenting bagimu mak. Terima kasih mak atas cinta kasihmu padaku. Terima kasih kerana sabar menanti. Terima kasih mak...kerana bertarung nyawa melahirkanku 42 tahun yang lalu. Aku berjanji tidak akan merelakan air matamu tumpah lagi kerana aku mak. 


Ya Allah ya tuhanku, Kau sediakanlah suatu tempat yang indah di syurga buat ibuku nanti. Sejahterakanlah ibuku, lindungilah dia daripada segala malapetaka, hasad dengki manusia. Gembirkanlah dia sehingga akhir hayatnya. Kasihanilah ibuku sepertimana dia mengasihani aku sewaktu aku kecil dulu Ya Allah..


Senyum tua dari matamu itu menyentuh hatiku mak. Aku tidak akan mengizinkan anak-anakku menyisihkanmu dari hati mereka. Mak tahu kan betapa sayangnya mereka pada mak? Aku berjanji mak andai ada rezeki lebih, masa terluang akan ku halakan langkahku ke kampung, menyimpul kasih sayang kita yang hilang selama 12 tahun itu.Aku berjanji mak. Insyaallah.



 

No comments:

Post a Comment