'O' IS FOR OLIE

Thursday, November 15, 2012

KEPUTUSAN

Membuat keputusan adalah suatu perkara yang bukan boleh diambil mudah. Cuba kira sepanjang hidup kita ini berapa kalikah kita dituntut memilih satu antara dua atau dalam beberapa situasi lebih daripada dua pilihan? Dan berapa kali pula keputusan yang kita ambil itu tidak salah? 

Keputusan menurutku tidak hanya berdasarkan kata hati. Keputusan harus diambil kira daripada segala aspek. Kiri kanan atas bawah dan pengaruh sekeliling. Kita tidak mahu keputusan yang diambil itu akhirnya menyuburkan derita sedia ada. Kita juga tidak sanggup membiarkan kehidupan kita musnah hanya kerana satu keputusan yang khilaf.

Membuat keputusan selalunya berkait rapat dengan kata hati. Seringkali kita mendengar kata bijak pandai : ikutlah kata hatimu. Tapi sejauh mana teori ini berkesan? Kata pepatah melayu pula ikut hati mati ! Kalau begitu bagaimana cara paling molek untuk kita membuat keputusan?

Aku sendiri telah beberapa kali mengambil langkah kurang bijak dalam mencapai keputusan. Ada kalanya terlalu mengambil kira pandangan rakan taulan saudara mara. Natijahnya aku yang menanggung parah. Terkecuali beberapa insiden pada hematku telah sedikit sebanyak menjadi titik tolak penghijarahan ke peringkat yang lebih baik dalam hidupku.

Selain daripada menuruti kata hati, membuat keputusan juga memerlukan rasional. Perlu fikir panjang. Perlu tabah. Perlu kuat. Perlu berani. Perlu bersedia menerima akibat. Perlu tawakal. Tapi kita selalunya kurang berani. Berani untuk berkata ya atau tidak. Berani untuk menerima dan menolak. Kita jarang tawakal. Kita hanya mengharapkan perkara-perkara yang baik sahaja. Kita lupa dugaan tuhan itu hebat. Kita lupa mempersiapkan diri dengan benteng yang utuh jika keputusan itu meyaksikan kegagalan. Kita lupa berdoa agar tuhan membuka jalan dan permudahkan urusan kita...ya kita lupa..

Aku seperti juga anda semua, acapkali dihadapkan dengan situasi genting dalam memilih yang terbaik dalam hidup. Kegagalan yang berulang membuat aku kian tabah menempuh hari muka. Siapa sahaja selagi bernama manusia pasti akan diuji cuma berbeza tahap dan bentuk ujiannya.
Aku amat berharap agar di masa hadapan aku akan lebih faham dan yakin dengan setiap keputusan yang diambil. Moga-moga anda juga begitu kerana memilih dan menentukan pilihan bukan kerja enteng !

Wassalam.




No comments:

Post a Comment